Jadual Liga M 2016 beri cabaran buat setiap pasukan

By Ammar Hakim 1 November 2016
Jadual Liga M 2016 beri cabaran buat setiap pasukan

Pendekatan Usahasama Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP) yang menjadualkan saingan Piala Malaysia berlangsung serentak dengan saingan pertandingan lain dalam Liga Malaysia (Liga M) musim ini jelas memberikan cabaran buat setiap pasukan yang mengejar kejuaraan.

Musim ini menyaksikan buat julung kalinya, sejak liga semi-pro diperkenalkan pada 1989, saingan Piala Malaysia bermula pada pertengahan musim ketika saingan Liga Super, Liga Perdana serta Piala FA sedang rancak berlangsung.

Pendekatan baru yang diambil FMLLP ini bererti setiap pasukan perlu memiliki kekuatan menyeluruh dalam kalangan 25 pemain dalam skuad utama.


“Ia merupakan keperluan setiap pasukan untuk memiliki 25 pemain bagi mengharungi keseluruhan musim Liga Malaysia,” kata bekas pemain Selangor, Asmawi Bakiri.

Permulaan saingan Piala Malaysia pada pertengahaan musim turut memberikan cabaran buat pemain mengharungi jadual yang padat, purata semua pasukan bermain tiga perlawanan dalam seminggu walaupun saingan Liga M musim ini berakhir sebelum November.

Kepadatan jadual yang dilalui pemain turut mengundang kerisauan pengendali kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee.

“Pada saya, kepadatan jadual ini boleh diteruskan tetapi jurang di antara perlawanan harus dilihat semula, kita tidak boleh bermain tiga perlawanan dalam tempoh tujuh minggu,” kata Kim Swee.

Nada sama turut dilontarkan penjaga gol utama negara, Khairul Fahmi Che Mat, yang juga ahli exco Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM).

“Pada pasukan yang layak dalam Piala AFC, Piala Malaysia, mereka terpaksa mengharungi jadual yang sangat padat. Pendapat saya, ia perlu mengkaji dengan teliti untuk jadual musim hadapan," katanya.

Tujuan utama FMLLP mengubah format Liga M musim ini adalah untuk memberikan peluang kepada semua pasukan Liga Super dan Liga Perdana melengkapkan aksi sepenuh musim.

About Author

Ammar Hakim

Comment