Jadual antarabangsa beri ruang Red Giants pulih kecergasan

By Shaiful Shamsudin 21 March 2017
Jadual antarabangsa beri ruang Red Giants pulih kecergasan
Jurulatih Selangor, P. Maniam, menagih aksi berkesan tonggak import, Francis Forkey Doe, selepas pemain itu gagal membantu Selangor dalam lapan perlawanan Liga Super gara-gara masalah kecederaan. 

Maniam lega, Forkey Doe akhirnya sudah mampu menyertai sesi latihan penuh bersama pasukan buat julung kalinya musim ini, semalam. 

Sudah pasti, kelibat Forkey Doe amat diharapkan untuk membantu Red Giants mencari kedudukan lebih selesa dalam saingan liga. 

Maniam menjangkakan Forkey Doe akan cergas sepenuhnya menjelang aksi seterusnya pada 1 April depan selepas pemain itu dilihat masih belum dapat memberi tumpuan 100 peratus dalam sesi latihan. 

"Kecergasannya tidak berada di tahap terbaik. 

"Tempoh rehat ini akan membantunya untuk mengembalikan kecergasan dalam tempoh dua minggu ini," katanya. 

Sementara itu, pemain pertahanan, Razman Roslan, pula tidak dapat mengikuti latihan bersama pasukan. 

Dia hanya menjalani proses pemulihan di tepi padang ekoran ditimpa kecederaan ringan.

"Razman akan kembali bersama pasukan selepas kecederaan kecil di bahagian hamstringnya pulih dalam tempoh beberapa hari lagi."

About Author

Shaiful Shamsudin

Comment