Isu gaji punca Kelantan kalah: Norhafiz enggan komen

By Ammar Hakim 20 February 2017
Isu gaji punca Kelantan kalah: Norhafiz enggan komen

Pertahanan Kelantan, Norhafiz Zamani Misbah, menafikan masalah dalaman yang membelenggu pemain Kelantan menjadi punca kegagalan mereka menyerap tekanan ketika tewas di tangan Kedah 1-0 dalam aksi Liga Super di laman sendiri, kelmarin.

Zamani memilih untuk bersikap tutup mulut daripada meluahkan apa yang terbuku di hatinya.

Tegas Norhafiz, pemain Kelantan ketika ini mengambil masalah dalaman mereka dengan profesional dan ia tiada kena-mengena dengan kekalahan  Kelantan dalam perlawanan tersebut.

"Saya tidak mahu komen mengenai perkara itu (masalah gaji). Saya cuma sebagai pemain, apa yang patut kami tahu, hanya fokus dan profesional. Di luar lain," katanya.

Pemain Kelantan ketika ini dibelenggu masalah tiada gaji sejak tiga bulan lalu, bagaimanapun pihak Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) memberi jaminan hal itu akan diselesaikan selewat-lewatnya minggu hadapan.

Ekoran kekalahan di Stadiuum Sultan Muhammad Ke-IV, Zamani turut memohon maaf kepada 23,000 ribu penyokong pasukan tuan rumah yang hadir ke stadium itu. 

"Ia amat mendukacitakan sebab kami tidak dapat (menang) walaupun ramai penyokong datang untuk menyaksikan kemenangan Kelantan. Saya bagi pihak rakan-rakan memohon maaf tetapi kami cuba yang terbaik," tambahnya.

Kelantan gagal meneruskan rentak kemenangan dalam dua aksi Liga Super terdahulu.

Selepas ini, Kelantan akan berdepan Melaka United dalam perlawanan tertunda Liga Super di stadium sama, malam esok.

 

About Author

Ammar Hakim

Comment