Issey tiada dalam perancangan saya -- Irfan

By Ammar Hakim 24 December 2016
Issey tiada dalam perancangan saya -- Irfan

Itu pendirian pengendali Terengganu, Irfan Bakti Abu Salim, terhadap pemain import, Issey Farran Nakajima, yang masih mempunyai kontrak berbaki setahun bersama Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT).

“Sebaik sahaja dipertanggungjawabkan untuk membimbing pasukan ini, saya telah mengenalpasti pemain-pemain yang sesuai untuk menyarung jersi Terengganu.

“Penting untuk saya maklumkan bahawa tiada perancangan untuknya (Issey) di dalam pasukan dan saya akan berbincang dengan pihak pengurusan mengenai status pemain itu.

“Difahamkan, Issey masih lagi bercuti dan saya tidak tahu siapa yang memberi kebenaran (cuti) sedangkan dia sepatutnya sudah menjalani latihan kerana masih mempunyai kontrak,” katanya.

Mula menyertai Terengganu pada 2015, pemain kelahiran Kanada itu berjaya meyakinkan pihak pengurusan Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) untuk melanjutkan kontraknya sehingga 2017.

“Saya sudah mempunyai calon pemain import untuk kuota Asia, namun masih perlu berbincang dengan Issey dan PBSNT untuk mendapatkan persetujuan bersama.

“Tidak dinafikan peminat-peminat di negeri ini begitu menyukai aksi Issey, namun kepentingan pasukan Terengganu perlu diutamakan dan dia (Issey) tiada dalam perancangan saya,” katanya lagi.

Sementara itu, pemain berusia 30 tahun, Mauricio Mazzetti, dari Argentina, tiba di negeri ini untuk bersama skuad Sang Penyu menghadapi saingan Liga Perdana, musim depan.

Pemain pertahanan itu akan menggantikan tempat Vincent Bikana, yang tidak disambung kontraknya.

About Author

Ammar Hakim

Comment