Irfan tagih kekebalan Vinicius

By Ammar Hakim 16 January 2017
Irfan tagih kekebalan Vinicius

Pengendali Terengganu, Irfan Bakti Abu Salim, berharap pemain pertahanan dari Brazil, Lazaro Vinicius, mampu menyuntik semangat kepada barisan pertahanan Sang Penyu menjelang sepak mula Liga Perdana, Jumaat ini.

“Apa yang saya perlukan adalah memastikan pemain-pemain beraksi sebagai satu unit dan menunjukkan permainan berpasukan.

“Saya lihat (Lutfulla) Turaev sudah menunjukkan keserasian bersama rakan-rakan sepasukan, namun (Federico) Falcone masih dalam proses menyesuaikan diri dengan corak persembahan kami.

“Seorang lagi yang belum beraksi bersama pasukan ini, (Lazaro) Vinicius, baharu tiba di Kuala Terengganu, kelmarin, jadi saya ada sehingga Khamis untuk memastikan Vinicius mampu mengikut rentak kami.

“Pemain tempatan di posisi pertahanan tidak membimbangkan saya, namun kehadiran Vinicius sekurang-kurangnya akan memperkuatkan lagi barisan benteng Terengganu,” ujarnya.

Pengendali berpengalaman itu ditemui selepas perlawanan persahabatan di antara Terengganu dan naib juara Liga Singapura, Tampines Rovers, di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, kelmarin yang berkesudahan seri 2-2.

Tuan rumah bangkit selepas dua kali ketinggalan menerusi jaringan Falcone dan bekas pemain tengah Felda United, Turaev.

 

About Author

Ammar Hakim

Comment