Indra mahu TRW kekalkan momentum kemenangan

By Ammar Hakim 14 February 2017
Indra mahu TRW kekalkan momentum kemenangan

Pemain veteran Kelantan, Indra Putra Mahayuddin, ingin memastikan momentum kemenangan pasukannya dapat berpanjangan dalam usaha memburu kedudukan lebih baik dalam saingan Liga Super.

Kelantan memperoleh kemenangan kedua berturut-turut selepas mengatasi Felda United 2-1 di tempat lawan pada Sabtu lalu.

Malah, Indra turut mempunyai peranan tersendiri apabila menjaringkan gol pertama buat pasukannya pada minit ke-33.

Selain itu, dia juga menggalas tanggungjawab sebagai kapten selepas Badhri Radzi terpaksa dikeluarkan pada lewat babak pertama akibat kecederaan di kepala.

Menurut Indra, rentak kemenangan ini perlu diteruskan skuad The Red Warriors dengan pemain-pemain lain juga sudah mula menemui keserasian antara satu sama lain.

"Kami amat bersyukur dengan dua kemenangan berturut-turut ini. Ini meningkatkan semangat kami untuk menghadapi perlawanan akan datang," ujarnya.

Dalam pada itu, Indra enggan meletakkan harapan terlalu tinggi terhadap peluang pasukan Kelantan dalam mencabar kejuaraan musim ini.

Sebaliknya, bekas pemain kebangsaan ini lebih selesa mengambil satu perlawanan demi satu perlawanan bagi memastikan Kelantan mampu meraih keputusan positif.

"Kami bukan pasukan pilihan, Kelantan masih cuba untuk memperbaiki rentak permainan kami dan mahu memberikan tentangan hebat kepada pasukan lawan."

Walaupun baru beraksi dua perlawanan, Kelantan mampu berada di tangga kelima liga dengan enam mata. Ia susulan kemenangan ke atas dua pasukan pilihan, PKNS dan Felda United, dengan penyerang utamanya, Muhammad Ghaddar, sudah meledak tiga gol.

About Author

Ammar Hakim

Comment