Hazwan dan Norshahrul sesuai digandingkan -- Sathianathan

By Staff Writer 12 October 2016
Hazwan dan Norshahrul sesuai digandingkan -- Sathianathan
B. Sathianathan menyarankan agar Ahmad Hazwan Bakri terus digandingkan dengan Norsharul Idlan Talaha selaku penggempur utama skuad kebangsaan dalam usaha untuk memperbaiki keberkesanan jentera serangan dalam Piala Suzuki AFF 2016.

Bagi bekas pengendali kebangsaan itu yang juga Presiden Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia (PJBM), Hazwan adalah pilihan terbaik untuk mengetuai jentera serangan jika dilihat kepada senarai pemain dalam skuad kebangsaan ketika ini.

Sathianathan juga masih optimis, Norshahrul adalah calon terbaik untuk digandingkan bersama penyerang Selangor itu sambil dibantu Baddrol Bakhtiar dari bahagian tengah.

"Saya melihat Hazwan dan Norshahrul adalah gandingan yang terbaik. Saya memilih Norshahrul kerana saya melihat dia tidak beraksi dengan kelam-kabut apabila memegang bola serta bijak untuk mendapatkan sepakan percuma dan juga sepakan penjuru.

"Apa yang menampakkan keistimewaan pada Norshahrul adalah gelecekannya di tepi-tepi padang. Walaupun di kawasan yang sempit, dia bijak untuk membawa bola keluar," jelas Sathianathan.

Sathianathan berasa jurulatih kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee, kini sudah boleh merangka pemain yang bakal mengisi kesebelasan utama pasukan dalam Piala Suzuki AFF bulan depan selepas aksi persahabatan dengan Singapura dan Afghanistan.

Dalam pada itu, rata-rata pemerhati bola sepak tempatan turut melihat peningkatan dalam skuad kebangsaan ketika aksi berdepan Afghanistan berbanding ketika berdepan Singapura selepas Kim Swee melakukan beberapa pertukaran pemain.

"Dari segi karektor dan juga kredibiliti, Norshahrul memang sesuai untuk bermain di posisi nombor enam kerana posisi itu memerlukan seorang pemain yang mempunyai kelebihan untuk menyerang dan bertahan. 

"Tanggungjawab tersebut telah digalas dengan baik oleh Norshahrul," ujar pemerhati bola sepak tempatan, Hasnizam Uzir.

Sementara itu, seorang lagi pemerhati bola sepak tempatan, Abdul Jalil Rambli, melontarkan pandangan bahawa Kim Swee hanya mampu membentuk skuad yang ampuh dan meletakkan pemain untuk beraksi di posisi yang tepat selepas mempunyai senarai terakhir 23 pemain.

"Saya percaya selepas ini Kim Swee bakal mempunyai senarai 23 pemain. Selepas itu pastinya dia dapat menumpukan perhatian siapa yang bakal bermain di posisi mana.

"Selagi Kim Swee tidak dapat mengumpulkan pemain seramai 23 orang, selagi itu dia akan terus melakukan percubaan yang pada saya masih lagi belum nampak keberkesanannya," kata Jalil.

About Author

Staff Writer

Comment