Hashim: Apa sahaja boleh berlaku

By Ammar Hakim 6 October 2016
Hashim: Apa sahaja boleh berlaku

Ketua jurulatih Kelantan, Hashim Mustapha, mengingatkan semua pemainnya supaya tidak mudah berpuas hati dengan kemenangan besar 3-0 ke atas musuh tradisi, Selangor,  dalam saingan separuh akhir pertama Piala Presiden di Stadium Sultan Muhammad IV, Isnin lepas. 

“Sejarah suku akhir Piala Presiden musim ini sudah membuktikan Selangor masih mampu bangkit selepas kalah pusingan pertama kepada Terengganu 3-0. Mereka bermain lebih baik di tempat sendiri, menang 4-0 dan layak ke separuh akhir bertemu Kelantan.

“Sekarang dengan kedudukan yang agak selesa, saya tidak mahu pemain alpa kerana masih ada 90 minit perlawanan di sana (Shah Alam) dan apa-apa sahaja boleh berlaku dalam bola sepak,” katanya.

Hashim, yang juga bekas pemain kebangsaan, bagaimanapun tetap berpuas hati dengan persembahan yang ditunjukkan skuad juara bertahan itu biarpun terpaksa menghadapi ancaman berterusan pihak lawan sepanjang 20 minit pertama.

“Memang saya akui dalam 20 minit pertama, kami gagal beraksi dengan baik akibat keadaan padang yang becak.

"Sepatutnya, saya turunkan Mohd Syafiq dan Wan Mohd Azlan lebih awal tetapi mereka tidak cergas sepenuhnya.

"Namun, dalam separuh masa kedua, semuanya nampak menjadi dan kami bermain mengikut apa yang dirancangkan,” katanya.

Dalam saingan separuh akhir pertama itu, penyerang sensasi Kelantan dan kebangsaan, Mohd Danial Ashraf Abdullah, beraksi cukup cemerlang untuk mencipta hatrik, sekali gus memberikan The President Warriors bekalan selesa untuk perlawanan timbal balik di Shah Alam nanti.

About Author

Ammar Hakim

Comment