Hasbullah: Kemasukan Safee gugat permainan T-Team

By Ammar Hakim 19 February 2017
Hasbullah: Kemasukan Safee gugat permainan T-Team

Kapten pasukan T-Team, Hasbullah Awang, menyifatkan kemasukan penyerang PKNS, Safee Sali, pada separuh masa kedua merencatkan persembahan mereka hingga terpaksa berpuas hati dengan satu mata dalam saingan Liga Super, malam tadi.

Keceriaan T-Team yang meledak dua gol terlebih dahulu pada babak pertama tidak bertahan lama apabila PKNS kemudian berjaya menyamakan kedudukan pada separuh masa kedua.

Bagi Hasbullah, kemasukan Safee pada minit ke-71 sememangnya berjaya menjejaskan perancangan tuan rumah untuk bertahan apabila PKNS semakin garang membuat asakan.

Gol pertama pasukan pelawat daripada Khairul Ramadhan Zauwawi ternyata memberikan semangat untuk mereka terus menyerang sebelum menambah jaringan di penghujung perlawanan.

"Safee merupakan pemain yang berjaya mengucar-kacirkan barisan pertahanan T-Team," kata Hasbullah.

Bagi ketua jurulatih, Rahmad Darmawan pula, anak buahnya seakan-akan hilang arah dan tidak mengikut perancangan sepatutnya, sekali gus memberikan peluang buat PKNS memanfaatkan peluang meraih gol untuk berakhir dengan keputusan 2-2.

"Saya telah memberitahu pemain-pemain supaya berwaspada dengan ancaman yang mampu diberikan oleh Safee. PKNS telah mempamerkan pergerakan yang sangat baik dalam usaha untuk mendapatkan gol penyamaan," jelas Rahmad.

About Author

Ammar Hakim

Comment