Hamidin harap magis dua tahun lalu berulang

By Jannah Ali 25 November 2016
Hamidin harap magis dua tahun lalu berulang
Pengurus Harimau Malaysia, Datuk Hamidin Mohd Amin, berharap detik magis dua tahun lalu berulang buat skuad negara dalam pertemuan menentang Myanmar, esok.

Skuad negara dalam Kejohanan Piala Suzuki AFF kali ini berdepan situasi mirip dua tahun lalu.

Ia menyaksikan mereka perlu melunaskan misi wajib menang dalam perlawanan terakhir menentang pasukan tuan rumah.

Pada 2014, skuad negara yang dibimbing Dollah Salleh, menewaskan Singapura 3-1 dalam aksi dramatik dua gol pada lewat permainan.

Ia tampak kembali berulang tahun ini apabila perlawanan menentang Myanmar bakal menjadi penentu nasib Harimau Malaysia.

"Situasi ini sering berlaku dalam Piala Suzuki, iaitu untuk melayakkan diri dengan laluan yang mudah selalunya sukar.

"Bertemu dengan pasukan tuan rumah, Myanmar, kami menganggap ia satu perlawanan yang sukar.

"Kelebihan pada pasukan Malaysia adalah skil dan pengalaman. Selain itu, pasukan negara perlu menurunkan pemain yang mampu untuk memberikan tentangan hebat kepada mereka.

"Kami menganggap pertemuan itu seperti final, kami perlu mencatatkan kemenangan untuk layak ke separuh akhir," jelas Hamidin.

Untuk rekod, skuad negara mencatat keputusan seri tanpa jaringan menentang Myanmar dalam dua aksi terakhir.

Ia membabitkan aksi persahabatan antarabangsa Mei lalu dan perlawanan pertama Kejohanan Piala Suzuki AFF 2014.

About Author

Jannah Ali

Comment