Hadwa sasar kelompok enam terbaik dalam Liga Super

By Ammar Hakim 4 January 2017
Hadwa sasar kelompok enam terbaik dalam Liga Super

Tonggak import PKNS FC, Matias Hadwa, menyasarkan pasukannya mampu kekal dalam kelompok enam terbaik Liga Super menjelang musim baharu yang akan membuka tirai 21 Januari ini.

PKNS kembali ke kancah Liga Super selepas menduduki tempat kedua saingan Liga Perdana musim 2016 di belakang Melaka United.

Mengakui cabaran pastinya lebih sukar, Hadwa turut ingin mencabar kemampuan dirinya sendiri untuk bersaing di peringkat tertinggi.

Lantas, sasaran awal untuk berada dalam kalangan enam pasukan terbaik Liga Super dianggap realistik buat PKNS.

"Menamatkan saingan musim ini dalam kelompok enam terbaik sudah memadai buat PKNS. Sudah tentu kami mahukan kejuaraan tapi saingan pasti sengit dan ia seakan-akan satu misi yang agak sukar dicapai," kata Hadwa.

Hadwa merupakan salah seorang daripada tiga pemain import PKNS yang dikekalkan bagi menghadapi musim 2017.

Kehadiran semula Patrick Ronaldinho yang dipinjamkan ke Selangor musim lalu selain penyertaan penyerang kebangsaan, Safee Sali, bakal menghangatkan lagi bahagian serangan PKNS.

Namun, Hadwa turut melaungkan amaran sudah bersedia untuk memastikan kedudukannya dalam kesebelasan utama tidak terancam.

"Kami sangat teruja untuk melihat apa yang PKNS mampu tampilkan dalam saingan Liga Super musim ini dan apa yang saya mampu lakukan dalam penampilan sulung saya dalam saingan utama Liga Malaysia. Saya berharap dapat menawarkan sesuatu yang menarik musim ini."

About Author

Ammar Hakim

Comment