Hadin intai peluang bersama skuad Piala Suzuki AFF 2016

By Jannah Ali 12 October 2016
Hadin intai peluang bersama skuad Piala Suzuki AFF 2016
Pemain sayap negara, Hadin Azman, berharap jaringannya ketika menentang Afghanistan malam tadi mampu untuk memikat pengendali negara, Datuk Ong Kim Swee, untuk dipilih menganggotai skuad Piala Suzuki AFF 2016.

Hadin antara lima muka baru yang dipanggil untuk tugasan antarabangsa skuad negara bulan ini.

Tonggak Felda United itu bukan pilihan utama Kim Swee ketika menentang Singapura dan Afghanistan.

Dia bertindak sebagai pemain gantian, namun malam tadi, dia dimasukkan lebih awal susulan kecederaan yang menimpa Syazwan Zainon.

Menyedari peluang hanya datang sekali, Hadin telah membuktikan kemampuannya menerusi satu gol untuk mengikat Afghanistan 1-1.

"Semuanya atas kerjasama satu pasukan, jika satu pasukan tidak bekerjasama, tidak mungkin saya dapat menjaringkan gol.

"Saya menggunakan peluang yang ada kerana peluang tidak akan datang selalu dan saya hanya mahu memberikan yang terbaik. Saya berharap dapat mewakili Malaysia untuk Piala Suzuki AFF," katanya.

Hadin, bagaimanapun, mengakui masih berdepan persaingan sengit untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama.

Antara pencabar utamanya ialah Safawi Rasid selain Amri Yahyah yang turut boleh beraksi di bahagian sayap.

"Alhamdulillah kerana semua pemain memberikan komitmen yang tinggi, jadi saya perlu memberikan persembahan terbaik dan Alhamdulillah kami memperolehi keputusan yang baik."

About Author

Jannah Ali

Comment