Gunalan: Selangor pamer kebangkitan

By Ammar Hakim 2 October 2016
Gunalan: Selangor pamer kebangkitan

Pemangku jurulatih Selangor, K. Gunalan, memuji kebangkitan hebat dipamerkan pemain selain meluahkan rasa lega kerana penerapan corak agresif di separuh masa kedua berjaya menyekat T-Team pada aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia.

Gagal mengimbangi aksi T-Team di separuh pertama, Gunalan terpaksa mengarahkan pemainnya lebih berani melakukan serangan jika mahukan kemenangan di laman sendiri.

Ternyata peringatan Gunalan itu membakar semangat pemain-pemainnya yang berada di tahap berbeza di baki 45 minit perlawanan sebelum meraih jaringan kemenangan melalui Ugo Ukah.

Biarpun hanya kelebihan satu jaringan, Gunalan menganggap itu sudah memadai buat Selangor.

“Saya telah memberitahu kepada para pemain, kami tidak mampu mara ke final jika meneruskan permainan yang sama seperti di separuh masa pertama.

“Persembahan Andik (Vermansyah), Hazwan (Bakri), Gopinathan dan Patrik (Ronaldinho) lebih menyerlah pada babak kedua begitu juga dengan kemasukan Adam (Norazlin),” kata  Gunalan.

Sementara itu jurulatih T-Team, Rahmad Darmawan pula berasa kecewa apabila melihat persembahan serba tidak menjadi yang dipamerkan pemainnya membuka ruang kepada Selangor melakukan serangan.

Namun, kekalahan 1-2 tidak begitu pahit untuk ditelan oleh Rahmad kerana melihat bekalan satu gol di tempat lawan tetap bermakna.

“Kami memiliki kelebihan dengan satu gol sebelum menghadapi aksi kedua nanti, Selangor telah melancarkan serangan bertali arus ke arah kubu pertahanan kami,” ujar Rahmad.

Sementara itu, dalam satu lagi perlawanan separuh akhir pertama yang menyaksikan Kedah menewaskan PDRM 2-1 di laman sendiri.

About Author

Ammar Hakim

Comment