Gomez dipilih untuk ubah ideologi, falsafah skuad negara

By Ammar Hakim 25 March 2017
Gomez dipilih untuk ubah ideologi, falsafah skuad negara

Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tunku Ismail Sultan Ibrahim, menegaskan perlantikan Mario Gomez selaku jurulatih skuad kebangsaan adalah untuk mengubah ideologi dan falsafah skuad negara bagi jangka pendek dan jangka panjang.

Tunku Ismail membuat kejutan dalam sidang media pertamanya selaku presiden FAM dalam Kongres FAM ke-53 di Petaling Jaya hari ini dengan pengumuman berkenaan.

Baginda mengumumkan Gomez, yang juga bekas jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), menggantikan Datuk Ong Kim Swee sebagai pengendali skuad Harimau Malaysia.

Namun, khidmat Kim Swee masih ditagih apabila dilantik mengemudi barisan kejurulatihan skuad bawah 22 tahun negara ke Sukan SEA Kuala Lumpur, Ogos ini.

"Mario Gomez akan mengendalikan pasukan kebangsaan dan Kim Swee akan mengurus pasukan bawah 22 tahun.

"Saya membenarkan Gomez untuk meningkatkan prestasi Harimau Malaysia bagi jangka masa pendek dan jangka masa panjang," kata Tunku Ismail.

Pengumuman itu menimbulkan persoalan mengenai kedudukan pengendali asal skuad bawah 22 tahun negara, Frank Bernhardt, yang sedang bersama pasukannya dalam Kejohanan Piala Dubai di Emiriah Arab Bersatu (UAE).

About Author

Ammar Hakim

Comment