Gol penyamaan berpunca daripada kesilapan kami -- Sathianathan

By Ammar Hakim 8 March 2017
Gol penyamaan berpunca daripada kesilapan kami -- Sathianathan

Pengendali Felda United, B. Sathianathan, mengakui kegagalan anak buahnya mengekalkan aksi penuh berdisiplin sehingga wisel penamat menyebabkan The Fighters terpaksa berpuas hati meraih satu mata ketika menentang Hanoi FC, semalam.

Beraksi dalam keadaan padang becak di Stadium Shah Alam, Felda mendahului menerusi jaringan Zah Rahan Krangar pada minit ke-22.

Ketika mereka berkira-kira untuk membawa pulang tiga mata penuh, lawan dari Vietnam itu bangkit menyamakan kedudukan pada masa kecederaan babak kedua.

Do Hung Dung muncul penyelamat Hanoi FC apabila meledak gol cantik menewaskan Farizal Harun untuk memastikan kedua-dua pasukan berkongsi mata.

"Saya agak kurang berpuas hati dengan cara kami ditembusi pada penghujung perlawanan, ia merupakan kesilapan kami sendiri dan harus memperbaikinya dalam aksi akan datang," katanya.

Keputusan ini, bagaimanapun, mengekalkan rekod tanpa kalah Felda United di bawah bimbingan Sathianathan sejak seri 2-2 bertemu Perak dalam saingan Liga Super hujung bulan lalu.

Sementara itu, jurulatih Hanoi FC, Chu Dinh Ngheim, mengakui amat berpuas hati dengan usaha keras pemainnya walaupun mencatat keputusan seri buat kali kedua dalam kempen musim ini.

"Satu mata untuk aksi di tempat lawan sememangnya satu keputusan memberangsangkan. Malah, kami juga masih belum tewas selepas mengharungi dua perlawanan, jadi ini satu petanda positif untuk kami,” katanya.

About Author

Ammar Hakim

Comment