Gol awal hancurkan kehebatan aksi menentang Melaka United -- David

By Ammar Hakim 19 February 2017
Gol awal hancurkan kehebatan aksi menentang Melaka United -- David

Hanya kerana satu gol awal lawan, Sarawak terpaksa menelan pahit kekalahan biarpun bermain dengan cukup hebat dan gah.

"Inilah bola sepak. Bagaimana cantik sekali pun permainan kita, yang penting adalah sentuhan gol. Gol menjadi pemisah di antara yang menang dan kalah," kata jurulatih Sarawak, David Usop, yang jelas kecewa dengan keputusan tewas 0-1 kepada Melaka United dalam aksi Liga Super di kubu sendiri.

Katanya, anak-anak buahnya bermain dengan baik dan semangat juang yang tinggi.

Namun, mereka terpaksa menelan hakikat bahawa jaringan Jeon Woo Young pada minit ke-13 semalam melenyapkan drama kehebatan seluruh permainan.

"Kami kempunan tiga mata," katanya lagi.

Ia kekalahan ketiga skuad Ngap Sayot itu selepas kecundang kepada Pahang 0-1, juga di Stadium Negeri dan 3-2 kepada Kedah di Stadium Darulaman.

David mengakui, ketajaman sentuhan penyudah masih menghantui pasukannya biarpun Mateo Roskam dan Mark Hartmann telah menunjukkan kemampuan sebenar mereka ketika bertemu MISC-MIFA dalam aksi Piala FA sebelum ini.

"Peluang wujud tetapi terjemahannya kepada gol sering gagal.

Secara keseluruhan, katanya, biarpun tewas, anak-anak buahnya telah memberi persembahan yang menghiburkan.

"Kami dibarisi pemain muda dan bukan bertaraf bintang. Namun, aksi kami berjaya mendatangkan bahaya kepada lawan, selain mengekang kemaraan lawan dengan cekap."

Ditanya apakah faktor keletihan menjadi punca selepas menang 6-3 pada Selasa lalu dalam saingan Piala FA, David menafikan pemain-pemain mengadu penat.

"Tidak sama sekali. Mereka tidak membayangkan kepenatan, sebaliknya mereka bermain dengan baik dan bertenaga.

"Cuma mereka hilang sengat dan kerancakan seperti ketika menundukkan MISC-MIFA."

Katanya lagi, episod kekalahan ini harus segera dipadamkan bagi membolehkan fokus diberikan kepada perlawanan seterusnya.

"Latihan akan digandakan bagi memastikan kesilapan serupa tidak berulang manakala ketajaman serangan akan diasah kembali," jelasnya.

About Author

Ammar Hakim

Comment