Ghaddar: Kembali sebagai 'Ghaddar Baharu', mahu julang TRW

By Ammar Hakim 17 January 2017
Ghaddar: Kembali sebagai 'Ghaddar Baharu', mahu julang TRW

Penyerang kebangsaan Lubnan, Mohammed Ghaddar, tidak berfikir panjang untuk menyatakan kesediaan kembali membantu skuad The Red Warriors (TRW) apabila dihubungi Penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa.

“Saya terus memberi jawapan ‘ya’ apabila dihubungi presiden (Annuar) yang bertanyakan kesediaan saya untuk kembali mewakili TRW dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim ini. Saya masih bermain untuk Al-Faisaly, sebuah kelab ternama Asia.

“Semuanya berjalan lancar dan saya memohon kebenaran kelab Al-Faisaly untuk meninggalkan mereka. Alhamdulillah, semuanya selesai dan kini saya kembali ke ‘rumah’ sendiri.

"Saya rindukan negeri dan pasukan ini. Saya rindukan sokongan padu penyokong setia TRW (sama seperti 2012),” katanya kepada media sebelum menjalani latihan pertama bersama skuad Kelantan di Padang Latihan Mardi, Pasir Tumbuh, Kota Bharu petang kelmarin.

Ditanya mengenai sasaran peribadinya musim ini, Ghaddar mengakui ingin menjulang sekali lagi kejuaraan Liga Super bersama TRW sebagaimana yang dilakukan pada 2012.

“Saya ingin memenangi kejuaraan liga tahun ini bersama Kelantan. Kalau boleh, ingin mengulangi kejuaraan menang tiga piala dalam satu musim seperti tahun 2012. 

“Insya-Allah, saya ingin jaringkan seberapa banyak gol musim ini, namun yang paling penting memastikan Kelantan mencapai kemenangan dalam setiap pertandingan. Kemenangan TRW paling utama dan saya akan ketepikan kepentingan peribadi,” katanya.

Ghaddar juga ingin membuang imej ‘budak nakal’ dan kembali sebagai ‘Ghaddar baharu’ untuk menjulang Kelantan menjadi sebuah pasukan pencabar utama kejuaraan musim ini.

“Insya-Allah, saya kembali sebagai ‘Ghaddar Baharu’. Sebelum ini, saya langsung tidak mengetahui apa-apa tentang Malaysia, Orang Kelantan, Tan Sri dan sebagainya. Kini, saya tahu maksud ‘kepulangan semula’. 

“Lagipun, kepulangan saya kali ini ditemani keluarga dan sudah pasti ingin jadikan musim yang istimewa bersama Kelantan tahun ini,” katanya.

 

About Author

Ammar Hakim

Comment