Ghaddar kembali perkuat skuad TRW

By Ammar Hakim 15 January 2017
Ghaddar kembali perkuat skuad TRW

Tiga tonggak import baharu Kelantan diharap mampu menyuntik kesegaran kepada The Red Warriors dalam tampung ketiadaan beberapa tonggak tempatan yang berhijrah ke pasukan baharu.

Antara pemain paling mencuri tumpuan ialah kehadiran semula penyerang dari Lebanon, Mohammed Ghaddar.

Ini merupakan kemunculan kali ketiga Ghaddar bersama Kelantan selepas menyertai pasukan itu pada 2012 sebelum sekali lagi beraksi pada pertengahan musim 2014.

Menurut Tan Sri Annuar Musa yang kini pengerusi Konsortium Al-Hamra iaitu selaku penaja utama Kelantan, minat Ghaddar untuk beraksi semula di Kota Bharu tidak pernah padam.

“Saya telah berhubung dengan Ghaddar dan berbincang mengenai masalah yang dihadapi oleh Kelantan dan dia membuat keputusan untuk kembali bersama kami bagi menghadapi saingan musim 2017,” ujar Annuar Musa.

“Saya sangat gembira kembali bersama Kelantan dan berharap untuk mengulangi kejayaan pada musim 2012,” kata Ghaddar.

Selain Ghaddar, Kelantan turut akan diperkuatkan penyerang bawah 23 Nigeria, Okiki Afolabi dan bekas pertahanan Cameroon, Cedric Djeugou.

Mengenai peluang Kelantan musim 2017, Annuar meminta pihak pengurusan lebih proaktif terutama dalam persiapan pra-musim yang dilihat kurang memberangsangkan.

“Saya melihat cara KAFA membentuk pasukan bagi saingan musim ini, mereka dilihat sebagai pasukan yang bakal tersingkir daripada Liga Super, mereka memerlukan persiapan yang lebih agresif.”

About Author

Ammar Hakim

Comment