Format aksi timbal balik peringkat kumpulan Piala Suzuki AFF diperkenalkan 

By Shaiful Shamsudin 29 March 2017
Format aksi timbal balik peringkat kumpulan Piala Suzuki AFF diperkenalkan 
Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) mengesahkan saingan Piala Suzuki AFF akan menggunakan format baru pertandingan, bermula edisi 2018. 

Format baru ini menyaksikan tiada lagi tuan rumah untuk saingan peringkat kumpulan. 

Setiap perlawanan akan dilangsungkan di tempat sendiri dan juga di tempat lawan.

Menurut Setiausaha Agung AFF, Datuk Seri Azzuddin Ahmad, format baru ini memberi peluang buat penyokong setiap pasukan untuk berasa bahang kejohanan Piala Suzuki AFF. 

"Langkah ini untuk bersikap adil terhadap kesemua pasukan yang bertanding. 

"Sebelum ini, beberapa pasukan langsung tidak berpeluang untuk menjadi tuan rumah.

"Dan kami mendapati ketika ini, beberapa venue (di negara-negara tertentu) telah diiktiraf oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC)," katanya.

Format baru Piala Suzuki ini akan dimuktamadkan dalam Mesyuarat Majlis AFF di Vientiane, Laos, 20 Mei depan. 

Berbeza dengan saingan sebelum ini, format baru ini akan mengambil masa enam minggu dan liga domestik setiap negara anggota perlu diselesaikan pada November. 

"Itu ketetapan yang dibuat kepada semua liga ASEAN patutnya ditamatkan pada minggu pertama November. 

"Cadangan ini telah disokong."

About Author

Shaiful Shamsudin

Comment