Fitri mahu bantu Selangor atasi cabaran musim 2017

By Ammar Hakim 28 December 2016
Fitri mahu bantu Selangor atasi cabaran musim 2017

Pemain tengah senior skuad Selangor, Fitri Shazwan Raduwan, menawarkan pandangan terhadap kemahuannya untuk mengatasi cabaran yang membadai skuad Merah Kuning menjelang sepak mula Liga Super 2017.

Tidak lagi menjadi rahsia, kepincangan dalam pengurusan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) mengundang padah terhadap persiapan menghadapi saingan musim hadapan.

Salah satu daripadanya penghijrahan pemain berstatus bintang seperti kapten, Shahrom Kalam, dan Hafiz Kamal ke Perak sementara R. Gopinathan dan pemain paling bernilai 
Malaysia, Ahmad Hazwan Bakri, ke Johor Darul Ta’zim (JDT).

Pemain sedia ada pula masih dibelenggu tunggakan gaji dan bonus bagi pencapaian kempen 2016.

“Pemain datang dan pergi adalah perkara biasa. Jadi, pemain-pemain yang masih bersama Selangor perlu memberikan yang terbaik bagi menghadapi musim akan datang,” ujarnya.

Fitri, yang merupakan produk daripada program remaja Selangor sejak sedekad lalu, berasakan pemain yang menyarung jersi keramat Merah Kuning sebaik bermulanya saingan Liga Super 2017 nanti akan memastikan maruah kehadiran mereka tidak tercalar.

Kehadiran P. Maniam sebagai ketua jurulatih disambut baik, begitu juga sasaran sederhana yang ditetapkan buat pemain mengharungi kempen 2017.

“Saya berpendapat pemain-pemain tidak akan beraksi dalam keadaan yang tertekan kerana tiada sasaran yang tinggi untuk musim hadapan.” 

About Author

Ammar Hakim

Comment