Fitri harap nasib berbeza bersama Lang Merah

By Ammar Hakim 17 January 2017
Fitri harap nasib berbeza bersama Lang Merah

Pertahanan baru kedah, Fitri Omar, percaya penghijrahannya ke skuad Lang Merah mampu memberikan sinar harapan untuk menikmati kejayaan selepas dilanda kekecewaan bersama beberapa pasukan terdahulu.

Fitri bergelut untuk mengecapi kejayaan dalam tiga musim terakhirnya bersama dua pasukan berbeza, Kelantan dan Pulau Pinang.

Paling mencabar adalah pada musim lalu apabila dia terpaksa bertungkus-lumus untuk membantu skuad Harimau Kumbang kekal dalam Liga Super.

Namun, dari pasukan bawahan, Fitri dimurahkan rezeki apabila dipikat pasukan handalan, Kedah, untuk memperkuatkan juara Piala Malaysia 2016 itu.

"Saya amat bersyukur akhirnya impian saya tercapai untuk beraksi bersama Kedah. Gaya permainan, taktikal dan gaya hantaran yang diterapkan oleh Kedah buat saya sangat teruja," katanya.

Sering menampilkan corak permainan agresif, pemenang kasut emas Liga Perdana 2011 ini juga mempunyai kepakaran menghasilkan jaringan dari sudut sukar.

Namun, Fitri menyedari saingan sengit menantinya untuk berada dalam kesebelasan utama skuad Hijau Kuning musim ini.

"Kebolehan saya untuk beraksi di beberapa posisi akan membantu saya untuk bersaing mendapatkan tempat dalam kesebelasan utama pasukan."

About Author

Ammar Hakim

Comment