Faysal tahu corak permainan Malaysia

By Ammar Hakim 10 October 2016
Faysal tahu corak permainan Malaysia

Kapten pasukan Afghanistan, Faysal Shayesteh, mengakui sudah mengetahui corak permainan yang bakal dipamerkan skuad Malaysia dalam aksi persahabatan kedua-dua pasukan di Stadium Shah Alam, malam esok.

Selepas empat bulan berada di Malaysia dengan menyertai pasukan Pahang, pemain berusia 25 tahun ini turut teruja apabila akan bersemuka dengan Matthew Davies -- pemain pertahanan Pahang -- bukan sebagai rakan sepasukan tetapi musuh di atas padang.

“Saya sering bergurau dengan Matthew dengan memberitahu bahawa kami akan memenangi perlawanan ini. Ini merupakan kali pertama saya berdepan dengan rakan sepasukan (Pahang). Diharap pasukan yang lebih baik akan memenangi perlawanan ini,” kata Faysal, yang menyertai Tok Gajah pada pertengahan musim ini.

Tatkala Faysal akan menjadi nadi utama selaku perancang tengah Afghanistan, Baddrol Bakhtiar pula diletakkan sebagai harapan di posisi itu bagi skuad negara.

Baddrol mengakui jentera tengah gagal berfungsi baik ketika bertemu Singapura tempoh hari, dengan tonggak Kedah ini berkata sudah bersedia untuk membentuk gandingan baru esok.

“Bagi saya, mana-mana pemain yang diturunkan untuk beraksi di bahagian tengah, sebagai pemain bola sepak, kami harus memberikan aksi yang terbaik ketika diturunkan,” kata Baddrol.

Kelebihan sememangnya berpihak kepada Afghanistan jika berdasarkan ranking semasa dunia. Namun, dalam aksi persahabatan pada 2008, yang merupakan rekod pertemuan terakhir, Malaysia menang besar 6-0.

Aksi menentang Afghanistan adalah antara perlawanan pemanas badan terakhir skuad bimbingan Datuk Ong Kim Swee sebelum menghadapi Piala AFF Suzuki 2016 yang akan berlangsung dari 19 November hingga 17 Disember ini.

Perlawanan tersebut akan disiarkan secara langsung di Astro Arena saluran 801 & 802 HD, bermula dengan pra-rancangan pada jam 8.00 malam.

 

About Author

Ammar Hakim

Comment