FAM tunggu surat penarikan diri daripada Annuar

By Amirul Azreen 23 March 2017
FAM tunggu surat penarikan diri daripada Annuar

Bekas presiden, Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa, mengumumkan menarik diri daripada bertanding jawatan presiden dalam Kongres Ke-53 Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Sabtu ini. 

Annuar mengumumkan penarikan dirinya daripada calon presiden hari ini -- dua hari sebelum kongres FAM berlangsung.

Dengan pengumuman terbaru ini, pencabar utama Annuar, iaitu pemilik Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim, dianggap menang tanpa bertanding.

"Saya membuat ketetapan untuk memberi penghormatan kepada calon yang satu lagi, iaitu Duli Yang Teramat Mulia Tunku Mahkota Johor agar baginda diberi kemenangan tanpa bertanding dan diisytiharkan sebagai presiden FAM yang baru," kata Annuar dalam sidang media.

Pengumuman Annuar dilakukan di Parlimen pagi tadi, namun ada pihak yang berpendapat pengumuman tersebut sudahpun dijangka.

Bagaimanapun keputusan tersebut dianggap sebagai anti-klimaks kerana bekas presiden KAFA itu pernah mengeluarkan kenyataan tidak akan menarik diri daripada pencalonan dalam kongres FAM kali ini.

"Tiada sesiapa yang tahu mengenai penarikan diri ini. Ini adalah keputusan saya sendiri," tambahnya.

Sementara itu, Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin, mengesahkan belum menerima sebarang surat rasmi daripada Annuar.

"Saya sedang menghubungi Tan Sri Annuar Musa untuk mendapatkan surat rasmi daripadanya. Saya berharap semua pihak menghormati keputusannya," jelas Hamidin.

Mengesahkan keputusan berkenaan membuka laluan buat Tunku Ismail, namun pemilihan rasmi presiden baru perlu melewati kongres terlebih dahulu.

"Sebarang pengisytiharan dan pengesahan akan dibuat dalam kongres. Sudah tentu ada timbalan, naib dan exco yang akan dipertandingkan."

About Author

Amirul Azreen

Comment