FAM tentukan nasib Schmid apabila tiba masanya

By Staff Writer 24 September 2016
FAM tentukan nasib Schmid apabila tiba masanya
Kegagalan skuad bawah 19 tahun negara dalam saingan bawah 19 tahun AFF di Hanoi baru-baru ini, kini mungkin memaksa Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memikirkan masa depan Pengarah Teknikalnya, Fritz Schmid.

Selaku pengarah teknikal, Schmid bertanggungjawab menyelia dan merangka pogram buat kesemua skuad remaja kebangsaan bawah umur.

Namun, sejak kedatangannya ke FAM pada April 2014, tiada peningkatan yang dipamerkan skuad bawah 16 dan 19 tahun dalam saingan antarabangsa.

Difahamkan, kontrak Schmid bakal tamat pada April 2017 dan apabila ditanya mengenai masa depan Schmid, ini reaksi Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin: "Saya berasakan kita perlu menerimanya secara kolektif. Kami akan mengumumkan masa depan Schmid apabila tiba masanya."

Hamidin turut mengakui FAM kini perlu meningkatkan pogram buat barisan pelapis kebangsaan dan mungkin perlu mencari kaedah baru yang mampu untuk memberikan kesan positif seperti pogram Harimau Muda sebelum ini.

"Kami perlu lebih bersungguh-sungguh untuk melihat program skuad bawah 16, 17 dan 19, seperti yang pernah kami lakukan dahulu, iaitu Harimau Muda.

"Mungkin akan ada program lain yang akan dijalankan yang bersesuaian untuk Malaysia pada masa akan datang."

Hamidin ditemui ketika majlis penyerahan bola ultra durable oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), kepada setiap ahli gabungan FAM.

Skuad bawah 19 tahun negara menamatkan aksi di tangga ketiga kumpulan A di Hanoi. Mencatatkan keputusan kemenangan dua kali dan tewas dua kali, mereka turut menjaringkan 10 gol, namun bolos sebanyak tujuh gol.

About Author

Staff Writer

Comment