FAM sedia jalin kerjasama dengan ADAMAS

By Amirul Azreen 4 November 2016
FAM sedia jalin kerjasama dengan ADAMAS

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sedia menjalin kerjasama dengan Agensi Anti-Doping Malaysia (ADAMAS) yang meluahkan hasrat mahu mengadakan ujian doping terhadap semua pemain yang beraksi dalam Liga Malaysia.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Status Pemain FAM, Abdul Aziz Yeop, tidak keberatan jika Ketua Unit ADAMAS, Nishel Kumar, mahu melakukan ujian doping dalam kalangan pemain bola sepak.

Walaupun begitu, Aziz menegaskan ADAMAS perlu mengikut prosedur yang ditetapkan FAM selain memberi makluman lebih awal jika mahu menjalankan sebarang ujian ke atas mana-mana pemain.

"Pada masa sekarang, mereka telah berkerjasama dengan pihak kami untuk melakukan ujian doping.

"Tetapi seandainya mereka berhasrat untuk menambahbaik proses ujian doping, kami sangat mengalu-alukan.

"Yang penting, mereka kena maklumkan FAM kerana ini melibatkan pengurusan persatuan negeri," jelasnya.

Selain itu, Aziz berharap jumlah sepuluh ujian doping pada tahun ini dapat dipertingkatkan ke satu angka lebih tinggi jika ADAMAS dapat membantu FAM.

Ia turut meliputi ujian sebelum musim Liga Malaysia bermula yang tidak pernah dilakukan oleh FAM setakat ini.

"Kalau sebelum ini kita hanya membuat dua ujian, tetapi pada tahun 2016 kami telah meningkatkan kepada 10 ujian.

"Sekiranya dapat ditambah lagi, itu lagi baik," katanya.

Nadi Arena pada Khamis melaporkan ADAMAS mahu menyelaraskan ujian terhadap semua persatuan sukan kebangsaan, termasuk bola sepak, bagi tujuan proses pengumpulan data dan memastikan ujian lebih tersusun.

About Author

Amirul Azreen

Comment