FAM akan berdepan masalah jika Khairy dipilih jadi presiden

By Amirul Azreen 27 January 2017
FAM akan berdepan masalah jika Khairy dipilih jadi presiden

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengundang risiko sekiranya Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, mendapat mandat sebagai presidennya.

Apatah lagi, pada waktu Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) sedang memantau perkembangan ini.

FAM, seperti mana-mana persatuan sukan kebangsaan, termaktub di bawah Akta Pembangunan Sukan 1997.

Akta tersebut meletakkan Pesuruhjaya Sukan bertindak memantau sesebuah persatuan sukan daripada sebarang isu salah laku.

Kerumitan pasti akan timbul memandangkan Pesuruhjaya Sukan melapor kepada Kementerian Belia dan Sukan.

Faktor ini membezakan kemampuan Russia untuk melantik bekas menteri sukannya dan kini Timbalan Perdana Menteri, Vitaly Mutko, sebagai pemimpin kesatuan bola sepak negara Eropah itu.

"FAM berada di bahawa Akta Pembangunan Sukan dan akta itu terletak di bawah Pesuruhjaya Sukan. Pesuruhjaya Sukan pula perlu menjawab kepada Kementerian Belia dan Sukan.

"Konflik sudah pasti akan berlaku, jadi kamu semua perlu faham ini perkara yang penting.

"Saya bukan cuba mempersoal kelayakan mana-mana individu yang bertanding tetapi seseorang perlu menjawab persoalan ini," tegas Setiausaha Agung AFC, Datuk Windsor John Paul. 

Risiko untuk FAM dikenakan hukuman oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) juga meningkat jika Khairy memegang jawatan sebagai presiden FAM dan Menteri Belia dan Sukan pada waktu yang sama.

Ini memandangkan sebarang kemungkinan untuk menyelesaikan sesuatu isu pada masa akan datang berupaya membabitkan elemen campur tangan kerajaan.

"Kebanyakan kes-kes persatuan bola sepak digantung adalah disebabkan campur tangan kerajaan.

"Ia agak rumit apabila kamu memiliki individu yang memegang dua jawatan besar," tambahnya.

About Author

Amirul Azreen

Comment