Fakhrul Zaman dalam perhatian Zahasmi

By Ammar Hakim 24 March 2017
Fakhrul Zaman dalam perhatian Zahasmi

Penyerang Kelantan, Fakhrul Zaman Wan Abdullah Zawawi, mahu terus meraih perhatian jurulatih, Zahasmi Ismail, bagi memastikan dia kekal dalam kesebelasan utama untuk aksi berdepan Pahang, 8 April ini.

Fakhrul Zaman masih belum puas apabila hanya diberi peluang sekali untuk berada dalam kesebelasan utama pada 4 Mac lalu.

Dia percaya mampu memberikan yang terbaik bagi membantu pasukan jika terus diberi kepercayaan oleh jurulatih selepas ini, lebih-lebih lagi bagi perlawanan getir berdepan Pahang.

Apatah lagi, Fakhrul Zaman turut berjaya menjaringkan gol sulung dalam aksi persahabatan menentang PDRM kelmarin yang membawa kemenangan 2-1.

“Saya masih tidak berpuas hati dengan prestasi saya, saya berharap dapat beraksi dalam kesebelasan utama pasukan dalam perlawanan akan datang,” katanya.

Dalam pada itu, pemain berusia 23 tahun itu menjangkakan aksi sengit bakal ditampilkan apabila berdepan skuad kendalian Dollah Salleh di Stadium Sultan Mohammed Ke-IV nanti selain positif Kelantan mampu memperoleh keputusan positif.

“Saya dapat melihat peningkatan dalam mutu permainan pasukan dan saya yakin kami akan memberikan yang terbaik bagi mengharungi cabaran musim ini.”

About Author

Ammar Hakim

Comment