Faiz terkejut tercalon dalam Anugerah Puskas FIFA

By Staff Writer 22 November 2016
Faiz terkejut tercalon dalam Anugerah Puskas FIFA
Ibarat melastik ke bintang. Itulah ungkapan paling tepat buat pemain bola sepak skuad Pulau Pinang, Mohd Faiz Subri, apabila jaringan luar biasa yang dilakukannya pada Februari lalu dicalonkan untuk menerima Anugerah Puskas Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) 2016 bagi gol terbaik dunia.

Pencalonan pemain berasal dari Kedah itu diumumkan FIFA semalam bersama sembilan lagi calon lain, termasuk bintang bolasepak dunia, Lionel Messi dan Neymar.

Bagaimanapun, daripada 10 pencalonan untuk gol terbaik dunia, jaringan Faiz dilabel antara yang luar biasa dan pelik.

"Saya bersyukur dan terkejut boleh berada dalam senarai 10 terbaik. Saya tidak pernah terfikir untuk berada sebaris dengan pemain terbaik Eropah dan juga dunia.

"Saya tidak berharap untuk menang tetapi jika ada rezeki, saya bersyukur. Berada di dalam senarai 10 terbaik sudah cukup untuk saya, negara dan juga pasukan Pulau Pinang," jelas Faiz.

Berikut merupakan senarai calon-calon Anugerah Puskas FIFA 2016:

- Mario Gaspar (SPA): Sepanyol menentang England, aksi perlawanan antarabangsa

- Hlompho Kekana (RSA): Cameroon menentang Afrika Selatan, kelayakan Piala Afrika 

- Marlone (BRA): Corinthians menentang Cobresal, Copa Libertadores

- Lionel Messi (ARG): Amerika Syarikat menentang Argentina, Copa America Centenario 

- Neymar (BRA): Barcelona menentang Villarreal, La Liga

- Saul Niguez (SPA): Atletico Madrid menentang Bayern Munich, Liga Juara-Juara

- Hal Robson-Kanu (WAL): Wales menentang Belgium, Euro 2016

- Daniuska Rodriguez (VEN): Venezuela menentang Colombia, Kejohanan Wanita Bawah 17 Tahun Amerika Selatan 

- Simon Skrabb (FIN): Gefle menentang Atvidaberg, Allsvenskan 

- Mohd Faiz Subri (MAS): Pulau Pinang menentang Pahang, Liga Super Malaysia

About Author

Staff Writer

Comment