Faiz Subri rakam penghargaan buat ibu bapa di atas detik bersejarah di Zurich

By Shaiful Shamsudin 10 January 2017
Faiz Subri rakam penghargaan buat ibu bapa di atas detik bersejarah di Zurich
Bagaikan di puncak dunia! Mohd Faiz Subri mencuri tumpuan bola sepak dunia apabila golnya dinobatkan sebagai gol tercantik, sekaligus memenangi Anugerah Puskas, Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) 2016 yang membuka dimensi baru bola sepak Malaysia. 

Kemenangan Faiz, yang sememangnya sudah dijangka, diumumkan legenda bola sepak Brazil, Ronaldo, dalam majlis penuh gemilang di Zurich pada awal pagi tadi (waktu tempatan). 

Sebaik namanya diumumkan, degupan nadi jutaan rakyat Malaysia seakan-akan terhenti. 

Penantian yang penuh debaran itu berakhir dengan tangisan kegembiraan yang sukar digambarkan dengan kata-kata. 

Faiz mencipta sejarah baru bola sepak negara dan dia bersyukur dengan kejayaan amat bermakna ini. 

"Pertama sekali, saya bersyukur ke hadrat Ilahi dengan anugerah tidak terhingga ini. 

"Saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada kedua-dua ibu bapa saya, keluarga, anak isteri dan seluruh rakyat Malaysia serta Pulau Pinang kerana memberi sokongan kepada saya. 

"Memang saya tidak pernah terfikir dan termimpi. Alhamdulillah, saya bersyukur sangat-sangat.

"Saya memang tak sangka dan sangat-sangat terharu, terima kasih kepada ibu bapa saya," katanya.

Keputusan rasmi undian menunjukkan Faiz meraih 59.5 peratus -- jauh mengatasi dua pencabarnya, Marlone yang mendapat 22.86 peratus dan Daniuska Rodriguez 10.01 peratus. Sejumlah 7.68 peratus undi lagi memihak pemain selebihnya yang tercalon dalam pusingan pertama pengundian.

About Author

Shaiful Shamsudin

Comment