Empat penyerang Harimau Malaysia miliki keistimewaan sendiri

By Shaiful Shamsudin 15 November 2016
Empat penyerang Harimau Malaysia miliki keistimewaan sendiri
Jurulatih negara, Datuk Ong Kim Swee, masih belum dapat menentukan gandingan terbaik di jentera serangan walaupun kelibat keempat-empat penyerang yang dimiliki dalam skuadnya telah diuji dalam aksi persahabatan dengan Papua New Guinea, semalam. 

Kim Swee masih buntu dalam menentukan pilihan terbaik untuk mengetuai jentera serangan negara dalam saingan Piala AFF Suzuki kali ini. 

Walaupun sudah melewati aksi persahabatan terakhir dengan Papua New Guinea, Kim Swee masih memerlukan masa dan perbincangan dengan barisan kejurulatihan sebelum membuat kata putus. 

"Saya masih lagi mencari alternatif terbaik dan pada hari ini (semalam), mereka masing-masing telah menunjukkan keupayaan yang tersendiri. 

"Mat Yo (Norshahrul Idlan Talaha) dan Safee Sali memiliki pengalaman. Darren Lok pula mampu mengekalkan posisi dengan begitu baik serta bekerja keras. 

"Ahmad Hazwan Bakri, sepertimana yang kita ketahui, jika diberi peluang dia mampu membuktikannya," jelasnya. 

Kim Swee turut memberi gambaran positif terhadap kelibat Matthew Davies yang diletakkan di posisi pertahanan kiri selain menegaskan perancangan ke atas Shahrul Saad dengan merujuk kepada keperluan pasukan ketika berhadapan dengan pihak lawan. 

"Matthew Davies masih memerlukan satu atau dua perlawanan (untuk serasi di posisi bek kiri). Pada masa yang sama, saya mempunyai Nazirul Naim yang boleh bermain di sebelah kiri dan terpulang kepada situasi nanti, siapa yang akan ditentukan. 

"Shahrul Saad boleh bermain di dua posisi. 

"Mungkin dalam pertemuan dengan Kemboja nanti, dia akan bertindak selaku pemain pertahanan dan dalam pertemuan Vietnam dan Myanmar pula, dia akan bermain sebagai pemain tengah bertahan."

Kredit imej: OfficialHarimauMalaysia

About Author

Shaiful Shamsudin

Comment