Empat pemain Harimau Malaysia bakal perkuat Felda United musim depan

By Staff Writer 18 November 2016
Empat pemain Harimau Malaysia bakal perkuat Felda United musim depan
Setiausaha Agung Felda United, Zulkarnain Muhammad, mengesahkan skuad The Fighters musim depan akan diperkuatkan dengan beberapa pemain daripada  skuad kebangsaan yang kini di Myanmar untuk saingan Piala Suzuki AFF.

Menurutnya, skuad Felda akan mengekalkan sebahagian besar tonggak utama musim lalu, termasuk Muhammad Shukor Adan dan Muhammad Hadin Azman.

Sekurang-kurangnya empat pemain skuad negara akan memperkuatkan barisan Felda bagi musim depan.

"50 peratus pemain yang kami kekalkan merupakan pemain yang mendapat tempat dalam kesebelasan utama ketika di bawah kendalian coach Irfan Bakti.

"Tiada perubahan besar yang akan berlaku, cuma pemain yang kami gugurkan merupakan pemain yang lebih banyak memanaskan bangku simpanan.

"Coach Azmi Mohamed hanya menyambung kerja-kerja yang tinggal dan ditambah dengan kehadiran empat nama besar yang masuk ke dalam pasukan.

"Kelemahan-kelemahan yang telah dikenal pasti pada tahun lalu, akan ditampung dengan kehadiran empat pemain tersebut.

"Kami berharap coach Azmi akan terus membawa pasukan," jelasnya.

Sebelum ini, Norshahrul Idlan Talaha sudah pun mengesahkan penghijrahannya ke Felda.

Difahamkan tiga lagi pemain kebangsaan yang kini dikaitkan dengan Felda ialah pertahanan Kedah, Rizal Ghazali, pertahanan Perak, Shahrul Saad, dan pemain tengah Selangor, S. Veenod.

Namun, Felda masih belum membuat kata putus mengenai kelibat empat awang import mereka untuk musim depan.

"Mengenai pemain import, kami akan mengadakan satu mesyuarat mengenainya dalam pertengahan bulan Disember.

"Pemain import yang kami miliki ketika ini masih bercuti dan akan mendaftar diri pada 1 Disember.

"Dari segi rekod mengenai pemain import bagi musim 2016, kami tidak mempunyai sebarang masalah. Mereka juga banyak membantu Felda untuk berada di tangga kedua Liga Super 2016.

"Kami belum memutuskan dan belum membincangkan lagi mengenai nasib pemain import. Kami akan berbincang mengenainya ketika mesyuarat ahli lembaga nanti."

About Author

Staff Writer

Comment