Durakovic miliki azam tinggi musim 2017

By Ammar Hakim 27 February 2017
Durakovic miliki azam tinggi musim 2017

Bersandarkan skuad seimbang yang dimiliki, pengendali baru Perak, Mehmet Durakovic, mengakui sasarannya bersama The Bos Gaurus begitu tinggi untuk mengecapi kejayaan musim ini.

Durakovic kembali ke kancah Liga Malaysia selepas menyepi musim lalu.

Bekas pengendali Selangor ini menggantikan Karl Heinz-Weigang selaku pengendali baru The Bos Gaurus.

Memiliki reputasi hebat bersama The Red Giants sebelum ini, sentuhan Durakovic jelas ditagih untuk memastikan Perak lebih cemerlang musim ini. 

"Saya memiliki sasaran yang tinggi musim ini. Pengurus pasukan, Datuk Jamal (Mohd Aris) telah memberitahu saya bahawa Perak memiliki beberapa pemain muda serta senior yang berkualiti, kami berharap dapat memberikan yang terbaik," jelasnya.

Durakovic tampak lulus ujian pertama selepas pasukannya seri 2-2 ketika berdepan Felda United di Stadium Tun Razak, Jengka kelmarin.

Bagaimanapun, Durakovic bakal kehilangan tonggak utama, Zaquan Adha Abdul Radzak, bagi pertemuan menentang Kelantan, Rabu ini.

"Kami akan menantikan apa yang diberitahu oleh pegawai perubatan, dia merupakan pemain utama kami dan berharap kecederaannya tidak begitu serius."

About Author

Ammar Hakim

Comment