Dua pentas untuk skuad bola sepak wanita uji kekuatan

By Shaiful Shamsudin 4 January 2017
Dua pentas untuk skuad bola sepak wanita uji kekuatan
Pasukan bola sepak wanita negara bakal menguji kekuatan dalam dua kejohanan berasingan di Singapura dan Thailand sebelum ke pentas Sukan SEA Kuala Lumpur, Ogos depan.

Skuad kendalian Mohd Asyraaf Fong Abdullah itu akan menyertai Kejohanan Pembangunan Bola Sepak Wanita Serantau 2017 di Singapura dari 16 hingga 20 Februari dan Kejohanan Bola Sepak Wanita AFF 2017 di Thailand dari1 hingga 10 Mac.

Asyraaf berkata kejohanan tiga penjuru di Singapura yang turut disertai tuan rumah dan Filipina adalah sebagai persiapan awal bagi menghadapi kejohanan seterusnya di Thailand.

"Kejohanan Pembangunan Bola Sepak Wanita Serantau adalah pentas terbaik bagi saya menguji kemampuan pasukan kita dengan pasukan-pasukan yang berada pada tahap sama.

"Bagi Kejohanan Bola Sepak Wanita AFF di Thailand, ia menjadi medan bagi kami membentuk sebuah pasukan yang kuat untuk menghadapi Sukan SEA nanti.

"Saya juga ingin melihat tahap keyakinan pemain dalam dua kejohanan ini dan pastinya gambaran sebenar kemampuan pasukan bagi menghadapi Sukan SEA boleh dilihat secara umum menerusinya," katanya ketika dihubungi di Kota Kinabalu, hari ini.

Beliau berkata dua kejohanan itu juga bakal memberi peluang kepada pemain muda dan baharu bagi menimba pengalaman awal sebelum beraksi dalam kejohanan yang menjadi sasaran utama, iaitu Sukan SEA.

Sementara itu, Asyraaf berkata beliau merancang untuk mengadakan perlawanan persahabatan antarabangsa dengan pasukan yang kuat selepas dua kejohanan itu selesai.

"Perlawanan persahabatan dengan pasukan yang kuat seperti kelab Korea Selatan, Thailand atau Vietnam bakal memberikan situasi sebenar kepada pasukan bagi menilai kelebihan dan kekurangan pasukan ini," katanya.

About Author

Shaiful Shamsudin

Comment