Disiplin tinggi kunci kejayaan TBG

By Ammar Hakim 19 February 2017
Disiplin tinggi kunci kejayaan TBG

Kapten Perak, Shahrom Kalam, mengakui disiplin tinggi yang ditunjukkan semua pemain menjadi kunci kejayaan The Bos Gaurus menewaskan Johor Darul Ta’zim (JDT) 2-1 di Stadium Perak, malam tadi.

"Kami telah memberikan fokus dalam separuh masa kedua, saya amat bersyukur apabila Perak berjaya meraih kemenangan di laman sendiri. Kami akan cuba untuk mengulangi kejayaan ini dalam perlawanan akan datang," katanya.

Skuad Perak garang menerusi jaringan pendahuluan Yashir Pinto pada minit ketujuh, namun JDT menyamakan kedudukan dua minit kemudian menerusi jaringan Hazwan Bakri.

Vladislav Mirchev muncul wira Perak apabila menyumbat gol kemenangan pada minit ke-74.

Walaupun mencatat kemenangan, kedudukan jurulatih Perak, Karl-Heinz Weigang, tampak goyah susulan kritikan terbukanya terhadap pengurusan pasukan sebelum ini.

Beberapa nama kini dikaitkan untuk menggantikan tempat Weigang, antaranya bekas jurulatih Selangor, Mehmet Durakovic, yang difahamkan berada di stadium menyaksikan perlawanan.

Cerita berbeza pula di kem JDT apabila pengendalinya, Benjamin Mora, masih optimis untuk kekal mengendalikan pasukan walaupun hanya meraih satu kemenangan daripada empat perlawanan liga setakat ini.

"Saya tidak akan mengubah sasaran saya pada musim ini untuk membantu JDT meraih kejuaraan buat kali keempat. Kami perlu mula bekerja keras dari sekarang," katanya.

Fakta menarik aksi pertembungan Perak-JDT:

• Kekalahan JDT mengakhiri rekod kebal mereka dalam Liga Super, dengan secara keseluruhan merekodkan 25 aksi tanpa kalah. Bagaimanapun, rekod ini tetap menjadi catatan baru dalam sejarah liga utama Malaysia.

• Kali terakhir Perak mencatatkan kemenangan ke atas JDT di laman sendiri dalam saingan Liga Super ialah pada 24 April 2015, juga dengan keputusan 2-1

About Author

Ammar Hakim

Comment

Read Next

Perak temui rentak kemenangan

By Ammar Hakim 19 Februari 2017. 11.16 AM