Davies azam kukuh kedudukan dalam kesebelasan utama

By Jannah Ali 1 November 2016
Davies azam kukuh kedudukan dalam kesebelasan utama
Pemain skuad senior kebangsaan, Matthew Davies, berazam untuk mengukuhkan kedudukannya dalam kesebelasan utama menjelang saingan Piala Suzuki AFF.

Davies merupakan wakil tunggal dari pasukan Pahang yang membarisi senarai 28 pemain untuk kem latihan fasa akhir bagi menghadapi kejohanan itu.

Mengakui senarai pemain kali ini jauh berbeza kerana tiada kelibat beberapa pemain utama yang sudah bersara, Davies mempunyai misi tersendiri.

Baginya, dia perlu menampilkan prestasi terbaik agar tidak kehilangan tempat dalam kesebelasan utama skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee.

"Sudah pasti jurulatih sudah mempunyai perancangan untuk setiap posisi, jadi saya perlu menarik perhatian jurulatih untuk memastikan saya berada di dalam kesebelasan terakhir yang akan ke Myanmar," ujar pemain kelahiran Australia itu.

Dalam pada itu, Davies mengakui dia mengalami musim yang kurang memuaskan bersama Pahang sepanjang musim ini.

Pahang bergelut dalam saingan Liga Super, khususnya dalam zon penyingkiran.

Menjadi antara sandaran kepada barisan pemain muda yang lain, Davies mengharapkan skuad Tok Gajah mampu untuk tampil dengan barisan yang lebih mantap musim depan.

"Ia merupakan satu musim yang sukar. Secara peribadi, saya berasa yang saya telah memberi persembahan yang baik dan konsisten. 

"Walaupun kami tidak memperolehi keputusan seperti yang kami harapkan tetapi kami telah berusaha sehabis mungkin untuk kekal dalam Liga Super. Jadi, saya sangat gembira."

About Author

Jannah Ali

Comment