David hormati PKNS FC, namun tekad curi mata

By Ammar Hakim 21 February 2017
David hormati PKNS FC, namun tekad curi mata

Sukar, namun Sarawak akan bertandang ke Stadium Shah Alam, Sabtu ini, dengan misi mendapatkan sekurang-kurangnya satu mata.

Ketua jurulatihnya, David Usop, mengakui ia tugas berat, namun beranggapan tidak ada yang mustahil.

"Kami menghormati kemampuan dan kekuatan pasukan lawan, PKNS Selangor, yang kini berada di kedudukan keenam liga.

"Malah, kami hormati pemainnya yang bukan sahaja kreatif tapi juga berpengalaman seperti Safee Sali, Patrick Wleh dan pelbagai lagi.

"Ia membakar semangat pemain saya agar teruja untuk menghadirkan saingan," katanya ketika ditemui pada sesi latihan di Stadium C, Petra Jaya, petang tadi.

David berkata beliau gembira kerana kebanyakan pemainnya sudah pulih daripada kecederaan, termasuk Mohamad Hafiz dan Abdul Rahim Razak manakala Jong Ho-lee sudah dibuka jahitan pada mukanya biarpun masih berbalut.

"Keadaan mental pemain juga semakin pulih selepas mengalami kekalahan tipis kepada Melaka United dalam aksi di tempat sendiri pada Sabtu lalu," tambahnya.

Jelasnya, dengan menurunkan hampir semua kesebelasan utama, beliau mahu anak-anak buahnya memberikan saingan kepada lawan.

"Kami sedar lawan yang ditemui adalah pasukan yang kuat dan dibarisi pemain-pemain berpengalaman.

"Namun, kami akan berusaha untuk pastikan pemain dapat memberi saingan dan berada sama 'par' dengan mereka."

Tegasnya lagi, tumpuan juga diberikan untuk mempertajam sentuhan gol selain mengurangkan kesilapan apabila menghantar bola.

Dengan keserasian yang semakin terasa, David yakin semangat dan kerjasama berpasukan yang dijalin akan membawa pasukan ini lebih jauh, malah tidak mustahil dalam perlawanan ini.

Pada Sabtu ini, skuad Ngap Sayot ini akan bermain pada sebelah petang, satu-satunya pengalaman yang belum pernah dilalui mereka berbanding lawan.

"Saya harap pemain-pemain kami dapat menyesuaikan diri secepat mungkin, terutama dengan bahang petang.

Kerana faktor ini jugalah, tambahnya, beliau akan membawa pemain-pemain muda bagi menyaingi pemain PKNS yang bukan sahaja pantas tetapi cergas.

"Kami berharap dapat mencipta sesuatu dan menemui kembali momentum kemenangan seperti yang berlaku di Stadium Bukit Kawan," katanya.

About Author

Ammar Hakim

Comment