Darren tekad buktikan keupayaan

By Staff Writer 27 September 2016
Darren tekad buktikan keupayaan
Darren Lok mendedahkan dia terkejut dipanggil untuk memperkuatkan barisan Harimau Malaysia, namun dia sudah bersedia untuk bersaing merebut tempat. 

Pemain kelahiran Hailsham, England itu baru sahaja memperoleh status kewarganegaraan Malaysia walaupun sudah hampir lima bulan berlatih bersama Johor Darul Ta'zim (JDT) II. 

Darren merupakan antara empat muka baru yang dipanggil bagi sesi latihan pasukan kebangsaan untuk perlawanan persahabatan menentang Singapura dan kemudiannya, Afghanistan pada 11 Oktober ini. 

"Saya gembira dapat berada di sini. 

"Panggilan skuad kebangsaan ini agak mengejutkan memandangkan saya tidak beraksi kerap di Malaysia. 

"Dalam tempoh dua minggu akan datang, kita akan dapat lihat sejauh mana saya dapat menyesuaikan diri. 

"Saya datang untuk beraksi tetapi agak mengecewakan kerana sudah berada di Malaysia tetapi tidak dapat diturunkan. 

"Tempoh hari, saya dapat bermain selama 45 minit, saya harap dapat teruskannya," terang penyerang itu.  

Status sebagai pemain baru dalam skuad kebangsaan, bagaimanapun, tidak menjejaskan kemahuan Darren untuk terus menambat hati Kim Swee. 

Setidak-tidaknya, penyerang berusia 25 tahun itu menggunakan tempoh sejak berkelana di Malaysia untuk mengkaji budaya bola sepak tanah air dan perkembangan Harimau Malaysia. 

"Saya bersama JDT II, saya menjalani latihan dengan baik dan dapat mengekalkan kecergasan saya. 

"Ia membantu saya menyesuaikan diri. 

"Bola sepak di sini agak berbeza berbanding di England di mana corak permainannya agak fizikal. Di sini, mereka menggemari corak hantaran rendah dan menarik."


About Author

Staff Writer

Comment