Darren Lok sedia bentuk gandingan berbisa dengan Hazwan

By Shaiful Shamsudin 18 November 2016
Darren Lok sedia bentuk gandingan berbisa dengan Hazwan
Penyerang negara, Darren Lok, mahu memahat rekod peribadi menerusi jaringan sulung di pentas antarabangsa dalam aksi sulung Harimau Malaysia dalam Piala Suzuki AFF menentang Kemboja, Ahad ini. 

"Alangkah bagusnya jika saya dapat bermain dalam kesebelasan utama. 

"Saya harap mendapat peluang itu dan menjaringkan gol. 

"Saya dan Ahmad Hazwan Bakri masih belum berkesempatan untuk bergandingan lama. Dalam perlawanan menentang Papua New Guinea, dia gemar memungut bola dari bahagian tengah padang. 

"Sebagai penyerang, saya suka berada di barisan pertahanan lawan. Saya suka menghambat bola melepasi pertahanan dan corak itu berhasil," katanya. 

Pemain kelahiran England berusia 26 tahun itu turut berkongsi pengalamannya yang sebelum ini beraksi di England bersama kelab Divisyen Tiga, Eastbourne Borough. 

"Di England, saya akan lebih banyak berdepan dengan pasukan-pasukan yang sering mengamalkan hantaran jauh berikutan kehadiran ramai penyerang berbadan besar yang menggunakan tandukan. 

"Saya hadir di sini dengan latar bola sepak Inggeris. Untuk itu, ia banyak membantu saya tapi saya masih perlu memahami lagi gaya bola sepak Malaysia. 

"Dengan pendedahan yang lebih banyak, saya pasti akan dapat menyesuaikan diri."

About Author

Shaiful Shamsudin

Comment