Dari Jepun ke Melaka, Sheang Tsung hajat tabur bakti

By Ammar Hakim 30 November 2016
Dari Jepun ke Melaka, Sheang Tsung hajat tabur bakti

“Kami menerima banyak emel yang berminat untuk mengikat kontrak bersama Sheang Tsung tapi kami lebih berminat untuk bersama Melaka United”.

“Tambahan kami warganegara Malaysia, sudah semestinya kami mahu dia menyumbang sesuatu untuk tanah kelahirannya”.

Demikian kenyataan yang dikeluarkan oleh bapa kepada pemain kelahiran Jepun-Malaysia, Tam Sheang Tsung, iaitu Datuk Seri Tam Yun Tong yang mahukan anaknya berkhidmat buat Melaka United.

Sheang Tsung, seorang warganegara Malaysia berumur 21 tahun, sebelum ini pernah berada di bawah kendalian Datuk Ong Kim Swee untuk pasukan kebangsaan bagi Sukan Sea 2013.

Bakatnya dikesan oleh skuad gergasi Jepun, Yokohama F. Marinos, ketika berusia 12 tahun. 

Dia pernah beraksi dalam Liga Jepun, kemudian dihantar ke Brazil dan kelab Cardiff City sebelum menyertai kelab gergasi China, Shanghai Shenshua, sebagai kelab terakhirnya.

Sheang Tsung adalah seorang daripada 10 pemain yang berada dalam senarai pendek skuad Melaka United bagi saingan Liga Super 2017.

Keputusan akan diketahui pada 4 Disember ini sebelum pasukan dijangka berangkat ke Desaru untuk melalui proses sesi pengenalan pemain baru, pemain lama serta pihak pengurusan Melaka United Football Club.


About Author

Ammar Hakim

Comment