Dadree anggap bernasib baik dapat anugerah

By Ammar Hakim 26 December 2016
Dadree anggap bernasib baik dapat anugerah

Dadree Rofinus mengakui terkejut apabila dipilih sebagai penerima anugerah Pemain Wanita Terbaik dalam majlis Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2016.

"Saya betul-betul tidak pernah sangka akan mengecapi kejayaan seperti ini. Sehingga kini, saya masih tidak percaya telah menerima anugerah itu.

"Ketika dimaklumkan mengenainya (dipilih menerima anugerah pemain wanita terbaik), perasaan saya bercampur...terkejut dan gembira. Ini mungkin nasib saya dan saya berterima kasih kepada Tuhan atas kejayaan ini," katanya ketika dihubungi di Kota Kinabalu, semalam.

Dadree memulakan karier bola sepaknya ketika di tingkatan dua pada 2004 dan dia kemudian diserapkan ke dalam skuad kebangsaan, lima tahun kemudian.

Pemain yang kini berusia 26 tahun itu kemudian tidak lagi menoleh ke belakang apabila terus menjadi sebahagian pasukan negara, malah dia adalah antara tonggak yang akan membawa cabaran Malaysia dalam Sukan SEA di Kuala Lumpur, tahun depan.

Bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Peter Mojuntin itu adalah pemain di posisi sayap dan prestasi cemerlangnya sepanjang tahun ini adalah faktor mengapa dia dipilih menerima anugerah berkenaan.

Sebelum ini, Dadree beraksi bersama pasukan MISC dalam Kejohanan Piala Tun Sharifah Rodziah dan berjaya membawa pasukannya itu muncul juara untuk tahun kedua berturut-turut.

About Author

Ammar Hakim

Comment