Cheng Hoe: Permulaan yang sempurna buat Kedah

By Ammar Hakim 21 January 2017
Cheng Hoe: Permulaan yang sempurna buat Kedah

Jurulatih Kedah, Tan Cheng Hoe, mengakui kejayaan meraih Piala Sumbangsih sebagai satu permulaan yang sempurna buat skuad Lang Merah untuk menjadi pencabar utama kejuaraan Liga Super musim ini.

Kedah menafikan hasrat Johor Darul Ta'zim (JDT) untuk melakar hatrik Piala Sultan Haji Ahmad Shah selepas menang 5-4 menerusi penentuan sepakan penalti.

Namun, kedua-dua pasukan mengutip satu mata bagi saingan Liga Super selepas perlawanan masa sebenar terikat 1-1.

Cheng Hoe mengakui ia bukan kejayaan yang mudah memandangkan pasukan lawan memiliki rekod hebat di laman sendiri sepanjang musim lalu.

“Tahniah kepada pemain kerana memiliki kekuatan mental untuk mengharungi perlawanan ini.

"Corak permainan kami semakin meningkat dan saya berharap pemain-pemain dapat mengekalkan momentum ini dalam perlawanan akan datang,” kata Cheng Hoe.

Sementara itu, perancangan JDT kelihatan terjejas susulan sijil perpindahan antarabangsa tonggak import, Jeronimo Barrales, hanya diperoleh pada saat-saat akhir.

Namun, pengendalinya, Benjamin Mora, enggan menjadikan ia sebagai alasan termasuk dirinya yang baru tiga hari mengendalikan pasukan.

“Saya masih baru bersama pasukan ini tetapi ia bukan alasan dan saya akan cuba menjadikan pasukan lebih baik untuk perlawanan akan datang.

"Kami masih memiliki beberapa ruang yang perlu diperbaiki dan berharap kami dapat melakukannya dengan secepat mungkin,” ujar Mora.

About Author

Ammar Hakim

Comment

Read Next

The City Boys langkah kanan

By Ammar Hakim 21 Januari 2017. 9.05 AM