Cheng Hoe: Lang Merah sedia untuk aksi Piala Sumbangsih

By Ammar Hakim 14 January 2017
 Cheng Hoe: Lang Merah sedia untuk aksi Piala Sumbangsih

Ketua jurulatih Kedah, Tan Cheng Hoe, memberi isyarat skuad Lang Merah sudah bersedia untuk mencipta kejayaan dalam pertembungan Piala Sumbangsih dengan juara Liga Super musim lalu, Johor Darul Ta’zim (JDT), di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin,  20 Januari ini.

“Kami menamatkan kempen siri perlawanan persahabatan dengan lima kemenangan dan dua seri. Cukup memuaskan, namun bukan kemenangan yang menjadi ukuran, sebaliknya persefahaman pasukan dan kemampuan pemain memberikan aksi terbaik sepanjang siri pra-musim tersebut. 

“Kini, fokus utama kami (berbaki seminggu) membuat persediaan rapi, terutama dalam aspek taktikal, sebelum menghadapi JDT di Larkin.

"Semua orang tahu JDT sebuah pasukan yang kuat dan mempunyai pemain yang hebat. Namun, berdasarkan prestasi pemain ketika ini, saya yakin Lang Merah mampu cipta keputusan positif,” katanya. 

Cheng Hoe juga menyifatkan skuad Kedah musim ini lebih mantap berdasarkan kualiti pemain yang ada di samping berjaya mendapatkan pemain import yang dijangka mampu menjulang Hijau Kuning  memburu kejuaraan Liga Super musim ini.

“Satu kelebihan apabila hampir 90 peratus pemain yang beraksi dalam saingan musim lepas (menjuarai Piala Malaysia) dikekalkan oleh Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) dan kami juga berjaya mengikat penyerang import, Ken IIso Larsen. 

“Benteng pertahanan pula akan dikawal pertahanan import terbaharu dari Australia, Zachary Michael Anderson, dan saya harap dia dapat memberikan aksi terbaik membentuk benteng mantap bersama pemain tempatan,” katanya.

Cheng Hoe, yang dipilih sebagai jurulatih terbaik musim lalu, terus menagih sokongan padu daripada penyokong setia Hijau Kuning dan berjanji pemainnya akan mempamerkan aksi terbaik menentang JDT.

“Anda (media) boleh tengok bagaimana sokongan padu yang hebat daripada penyokong Hijau Kuning yang sanggup membanjiri Stadium Shah Alam untuk menyokong kami semasa final Piala Malaysia.

“Kini, cabaran baru akan bermula dan saya ingin mengajak semua penyokong turun beramai-ramai ke Larkin untuk aksi menentang JDT. Satu perlawanan yang menarik,” katanya.

About Author

Ammar Hakim

Comment

Read Next

Iskandar tidak akan ke Sarawak -- Hendrawan

By 13 Januari 2017. 11.55 AM