Cheng Hoe: Bang pasti pulih tetapi kehilangan khidmat Arif

By Ammar Hakim 9 October 2016
Cheng Hoe: Bang pasti pulih tetapi kehilangan khidmat Arif

Ketua jurulatih Kedah, Tan Cheng Hoe, menyifatkan aksi persahabatan menentang Pulau Pinang, Jumaat lalu, sebagai memuaskan dalam menguji kombinasi beberapa pemain utama dan simpanan menjelang separuh akhir kedua Piala Malaysia menetang PDRM, Sabtu depan.

“Biarpun menang 2-1, ia bukanlah kemenangan yang dicari kerana kami bermain tanpa enam pemain kebangsaan. Cuma, saya ingin melihat beberapa kombinasi baru pemain simpanan dan pemain utama sebagai persediaan untuk separuh akhir kedua.

“Saya juga memberikan tumpuan khusus kepada benteng pertahanan supaya mereka kekal fokus sepanjang 90 minit perlawanan dan minimumkan kesilapan mudah,” katanya.

Cheng Hoe juga mengumumkan pertahanan import kental dari Korea Selatan, Bang Seung Hwan, semakin pulih daripada kecederaan dan bersedia untuk beraksi dalam separuh akhir kedua di Melaka, Sabtu nanti.

“Bang semakin pulih dan khidmatnya sangat penting untuk mengemudi benteng pertahanan menangkis serangan bertali arus PDRM nanti.

“Cuma, kami terlepas khidmat Mohd Arif Farhan musim ini apabila disahkan mengalami kecederaan ASL dan ini satu kerugian kepada pasukan,” katanya.

Ditanya sama ada Kedah akan mengadakan lagi perlawanan persahabatan, Cheng Hoe menjelaskan minggu ini akan digunakan sepenuhnya untuk membaiki segala kelemahan yang ada kepada pasukan.

“Rasanya tidak ada lagi perlawanan persahabatan dan saya kekal fokus untuk membaiki segala ruang yang perlu ditingkatkan menjelang pertemuan dengan PDRM nanti,” katanya.

Cheng Hoe juga mengharapkan ribuan penyokong Kedah untuk terus berdiri teguh di belakang pemain-pemainnya demi bersama-sama memburu tiket ke final Piala Malaysia.

“Saya sangat menghargai sokongan penonton dan kami berjanji akan terus mempamerkan aksi terbaik di gelanggang lawan untuk mencari tiket ke final,” katanya.

About Author

Ammar Hakim

Comment