Cari bekalan selesa di laman sendiri - Safiq

By Staff Writer 28 September 2016
Cari bekalan selesa di laman sendiri - Safiq

Ketua pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT), Safiq Rahim, menyeru rakan sepasukan untuk mencari bekalan selesa dalam aksi separuh akhir pertama Piala AFC menentang juara Liga India, Bengaluru FC, di Stadium Larkin, malam ini.

JDT kekal berada di laluan mempertahankan mahkota kejuaraan yang dimenanginya musim lalu.

Kini halangan mereka dalam separuh akhir adalah Bengaluru, pasukan yang pernah mereka hadapi ketika saingan peringkat kumpulan.

JDT menang 1-0 ketika bertandang ke Bengaluru pada 9 Mac, kemudiannya menang dalam aksi timbal balik dengan keputusan 3-0 di Larkin.

Namun, Safiq mengingatkan rakan sepasukan, perlawanan pada malam ini tetap tidak mudah meskipun rekod lebih memihak mereka.

“Seperti biasa, beraksi di Larkin, kami memiliki kelebihan dan mahu cuba mendapatkan keputusan yang baik,” kata Safiq.

Dalam masa yang sama, Safiq juga berwaspada kerana Bengaluru sudah berwajah baru. 

Bengaluru kini dikendalikan jurulatih, Albert Roca, yang dilantik Julai lalu, serta mereka kini mempunyai import baru, Cameron Watson,  yang pernah beraksi bersama Newcastle Jets dalam Liga Australia.

“Bengaluru kini sudah memiliki pemain import yang baru di bawah pengurusan yang baru. Bagaimanapun, kami harus memberikan tumpuan sepenuhnya kepada pasukan kami, cuba mengikut perancangan jurulatih sebaik yang mungkin.”

 

About Author

Staff Writer

Comment