Cabaran berbeza menanti Zainal Abidin

By Ammar Hakim 26 March 2017
Cabaran berbeza menanti Zainal Abidin

Jurulatih baru Pulau Pinang, Zainal Abidin Hassan, mengakui cabaran membimbing Pulau Pinang membawa persepsi berbeza untuknya setelah bekas pemain kebangsaan ini begitu sinonim dengan pasukan elit seperti Pahang dan Selangor.

Zainal mengakui tekanan berbeza dialaminya sebaik bersetuju untuk membimbing pasukan yang kini berada di tangga terakhir Liga Super dengan hanya dua mata.

Dalam keadaan yang tidak menyebelahinya, Zainal perlu memikul tanggungjawab untuk memastikan Pulau Pinang sekurang-kurangnya mampu keluar daripada zon bahaya bagi mengelak tersingkir ke Liga Perdana musim depan.

Dengan berbaki tiga perlawanan terakhir pusingan pertama Liga Super, Pulau Pinang berhadapan musuh yang sememangnya sukar untuk dijinakkan musim ini, iaitu Felda United, Kelantan dan Johor Darul Ta’zim (JDT).

"Ini merupakan satu cabaran yang baru buat saya kerana sebelum ini mengendalikan pasukan seperti Pahang dan Selangor yang dianggap sebagai pasukan elit. Saya kini mengendalikan pasukan yang memiliki dua mata dalam saingan liga," katanya.

Zainal secara rasmi menerima surat penamatan kontrak daripada bekas majikannya, Persatuan Bola Sepak Selangor pada (FAS), Rabu lalu, seterusnya membawa kepada pelantikannya selaku jurulatih Pulau Pinang sehingga penghujung 2017.

Kata sepakat dicapai dalam pertemuan membabitkan Presiden Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP), Zairil Khir Johari, dan Presiden FAS, Datuk Seri Subahan Kamal.

"Saya perlu bertungkus-lumus bagi memastikan pemain-pemain dapat menyesuaikan diri dengan taktikal permainan saya."

Ranjau amat berliku buat skuad Pulau Pinang musim ini apabila masih mencari kemenangan sulung liga musim ini selain menduduki tangga terakhir Liga Super.

Cabaran mereka dalam Piala FA tersekat dalam pusingan ketiga selepas kecundang kepada Negeri Sembilan.

About Author

Ammar Hakim

Comment