Bukan mudah tetapi tidak mustahil -- Zainal Abidin

By Ammar Hakim 24 March 2017
Bukan mudah tetapi tidak mustahil -- Zainal Abidin

“Tidak mustahil,” demikian yang disuarakan ketua jurulatih baru Pulau Pinang, Zainal Abidin Hassan, yang berdepan tugas mencabar untuk mengembalikan reputasi skuad Pulau Mutiara dalam Liga Super musim ini.

Zainal sah dilantik sebagai pengendali baru oleh Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP) bagi menggantikan Ashley Westwood yang ditamatkan kontrak, Ahad lalu.

Bekas jurulatih Selangor dan Pahang itu tidak menolak berdepan tugas getir untuk menyelamatkan skuad Harimau Kumbang yang berada di tangga tercorot Liga Super ketika ini.

Sasarannya adalah ingin memastikan pasukan itu tidak tersingkir daripada saingan Liga Super musim depan dan menganggapnya sebagai bonus jika dapat meraih slot ke Piala Malaysia.

"Yang paling penting adalah memperbaiki kedudukan Pulau Pinang dalam saingan Liga Super, ia bukan satu tugas yang mudah tetapi tidak mustahil, kami akan cuba yang terbaik," katanya.

Langkah pertama yang bakal dilakukan oleh Zainal adalah mengenali rapat barisan pemain selain mengembalikan semangat mereka untuk beraksi.

Perlawanan berdepan Felda United pada 9 April depan perlu berakhir dengan keputusan positif selepas berdepan dengan enam kekalahan dan dua seri.

"Pemain-pemain juga perlu meningkatkan semula semangat apabila menduduki kedudukan tercorot liga sebelum bangkit mengharungi baki saingan musim ini."

About Author

Ammar Hakim

Comment