Bernhardt tidak puas hati dengan keputusan ujian kecergasan pemain

By Jannah Ali 2 December 2016
Bernhardt tidak puas hati dengan keputusan ujian kecergasan pemain
Ketua jurulatih skuad bawah 22 tahun negara, Frank Bernhardt, tidak berpuas hati dengan hasil ujian kecergasan anak buahnya pada hari pertama kem latihan pusat dan masih banyak yang perlu diperbaiki sebelum aksi persahabatan berdepan Filipina minggu hadapan.

Skuad Projek Sukan SEA 2017 kembali memulakan sesi latihan pusat semalam bagi persediaan terakhir untuk perlawanan persahabatan menentang Filipina 8 Disember ini.

Namun, ada pemain yang masih tidak berada di tahap kecergasan memuaskan dan ia merisaukan Bernhardt selain mahu mereka segera kembali memperbaiki segala kekurangan.

Apa yang penting adalah pemain perlu mengelakkan diri daripada sebarang kecederaan yang akan menyukarkan lagi dirinya untuk membentuk skuad terbaik menjelang Sukan SEA tahun depan.

"Saya perlu mengakui bahawa keputusan ujian kecergasan tidak begitu bagus tetapi mereka baru kembali dari bercuti. Mereka seharusnya menyedari bahawa mereka perlu melakukan persediaan dengan begitu gigih.

"Saya melakukan ujian kecergasan tersebut sebagai persediaan sebelum musim baru bermula," katanya.

Bernhardt mengharapkan pemain memberikan sepenuh komitmen dan tidak menolak akan melakukan beberapa perubahan pemain untuk diturunkan berdepan Filipina bagi aksi penutup musim ini.

"Ia merupakan perlawanan persahabatan dan saya fikir saya boleh melakukan pertukaran pemain lebih daripada tiga orang.

"Kemungkinan semua pemain akan mendapat peluang untuk beraksi dan saya akan melihat bagaimana keputusannya nanti."

About Author

Jannah Ali

Comment

Read Next

Jangan fikir tentang ranking -- Wan Wah

By Jannah Ali 2 Disember 2016. 9.35 AM