Bernhardt tak gusar kekurangan pemain

By Shaiful Shamsudin 5 October 2016
Bernhardt tak gusar kekurangan pemain
Pengendali skuad B-22, Frank Bernhardt, tidak gusar meskipun baru 18 pemain dapat dikumpulkan sepanjang dua hari latihan pusat di samping berdepan beberapa pemain yang cedera menjelang pertemuan dengan skuad kebangsaan Brunei, petang esok. 

Berbaki dua hari sebelum pertemuan dengan Brunei di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Bernhardt berdepan kesukaran apabila masih belum dapat menghimpunkan kesemua 23 pemain. 

Antara yang masih belum melaporkan diri kerana terikat dengan komitmen bersama persatuan negeri dan kelab adalah Danial Asharaf, Zarulizwan Mazlan dan Irfanuddin Sabri. 

Lali dengan senario sebegini sejak mula membimbing pasukan B-22 negara, Disember lalu, Bernhardt bersiap-sedia dengan segala kemungkinan. 

"Kami mahu mengumpulkan mereka lebih lama, tapi tak boleh. 

"Berikutan kepadatan jadual liga dalam tiga bulan lepas, kami tidak mendapat pelepasan mereka beberapa hari lebih awal. Itu tiada masalah.

"Secara umumnya. bola sepak di sini lebih rumit berbanding negara lain kerana kami mengulang untuk mendapatkan corak yang kami mahukan," kata bekas jurulatih remaja Estonia itu. 

Selain Muhd Farhan Isa yang dilanda kecederaan lutut (ACL), Bernhardt juga mungkin terpaksa melupakan khidmat ketua pasukan, Mohamad Faris Shah Rosli, yang mengalami kecederaan lutut kanan. 

Untuk itu, dia mempunyai beberapa pilihan pemain daripada senarai menunggu, antaranya Nur Shamie Iszuan Amin dan Tommy Mawat Anak Bada dari Sarawak serta Damien Lim Chien Khai dari Selangor. 

"Faris melaporkan diri dalam keadaan mengalami kecederaan ringan yang berlarutan kerana mengharungi permainan bersama pasukan kelab dengan mengambil suntikan (rawatan). 

"Nampaknya dia sudah lama mengalami kecederaan itu, ini tidak bagus untuk kami."

About Author

Shaiful Shamsudin

Comment