Bernhardt sekali lagi kecewa dengan status kecergasan pemain

By Amirul Azreen 29 January 2017
Bernhardt sekali lagi kecewa dengan status kecergasan pemain

Tatkala lega dengan ketibaan beberapa pemain, pengendali skuad bawah 22 tahun negara, Frank Bernhardt, sekali lagi menerima perkhabaran buruk mengenai status kecergasan anak buahnya.

Kehadiran empat pemain, masing-masing dari Pahang serta T-Team, yang sebelum ini tidak diberi pelepasan, memberi kelegaan buat Bernhardt bagi persiapan menghadapi skuad B-22 Vietnam, 7 Februari nanti.

Namun, masalah sama tetap mencetuskan kekecewaan buat Bernhardt, iaitu tahap kecergasan pemain yang masih belum meningkat.

Skuad B-22 negara sebelum ini menjalani ujian kecergasan di Institut Sukan Negara (ISN) beberapa hari sebelum aksi persahabatan menentang Filipina, Disember lalu.

"Keputusan kecergasan sangat tidak baik dan saya boleh katakan kami berdepan tugas yang banyak.

"Saya berharap pemain akan lebih bersungguh-sungguh untuk memperbaiki kecergasan dengan sesi latihan di peringkat kelab," kata Bernhardt.

Seramai 20 pemain menjalani sesi latihan hari ini dengan baki tujuh lagi pemain dijangka menyertai mereka esok.

Begitupun, Bernhardt dijangka hanya akan membawa 18 pemain ke Bandaraya Ho Chi Minh, Vietnam dengan senarai akhir akan diumumkan selepas kem latihan tamat pada 31 Januari ini.

"Saya rasa kami bakal berdepan lawan yang sengit. Vietnam telah melakukan persiapan selama dua minggu, jadi saya rasa mereka akan menurunkan skuad yang ampuh," tambah Bernhardt.

Bernhardt juga yakin penularan wabak denggi di kawasan sekitar Bukit Jalil, khususnya Majlis Sukan Negara, (MSN) bukan satu kebimbangan buat pasukannya.

About Author

Amirul Azreen

Comment