Bernhardt sahkan Danial Asyraf digugurkan

By Jannah Ali 3 December 2016
Bernhardt sahkan Danial Asyraf digugurkan
Pengendali skuad bola sepak bawah 22 tahun negara, Frank Bernhardt, mengesahkan pemain tengah, Muhammad Danial Asyraf, digugurkan daripada skuad 22 pemain ke Manila, Filipina, ekoran kecederaan hamstring.

Danial ditimpa kecederaan ketika Skuad Projek Sukan SEA 2017 mengadakan perlawanan latihan menentang skuad Liga Perdana Negeri Sembilan, semalam.

Ia sedikit-sebanyak menjejaskan perancangan Bernhardt selepas pemain Piala Presiden Kelantan itu antara yang menyerlah sejak kebelakangan ini.

Namun, pengendali dari Jerman itu enggan cepat melatah apabila optimis terhadap keupayaan pemain sedia ada untuk dipertaruhkan dalam pertemuan dengan Filipina, Khamis depan.

"Kami masih mempunyai pemain yang boleh menampung setiap posisi. Ketiadaannya bukan satu masalah besar tetapi saya kesal kerana pemain yang berada pada prestasi terbaik tidak dapat bersama pasukan," katanya.

Mengulas mengenai kekalahan 0-3 menentang Skuad Jang, Bernhardt sedikit kecewa tetapi memahami situasi pemainnya yang kurang mendapat pendedahan bersama pasukan kelab dan negeri masing-masing.

"Sasaran utama saya adalah untuk melihat bagaimana mereka menyesuaikan diri dengan sistem baru yang saya terapkan. 

"Dalam perlawanan tersebut, mereka beraksi dengan baik pada separuh masa pertama tetapi kami mempunyai sedikit masalah pada separuh masa kedua.

"Perlawanan tersebut menuntut intensiti yang tinggi tetapi tahap kecergasan pemain saya tidak berada di tahap yang terbaik dan kami berhadapan dengan masalah."

About Author

Jannah Ali

Comment